Bukti Najib Pemimpin Berjiwa Besar

Kesudian Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam membuktikan Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sikap terpuji Najib itu sepatutnya dicontohi oleh pemimpin-pemimpin politik lain agar hubungan silatulrahim sesama insan itu tidak putus.

Malah kata Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Perdana Menteri sebelum ini juga sentiasa meluangkan masa melawat pemimpin-pemimpin pembangkang lain meskipun berlainan fahaman politik.

“Ini menunjukkan Najib berjiwa cukup besar walaupun di dalam politik Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN). Atas prinsip ukhwah, persaudaraan sesama Islam Perdana Menteri mengenepikan segala perbezaan politik.

“Semua dapat lihat betapa hebatnya politik Najib dan sepanjang kami mengenalinya, beliau merupakan pemimpin yang cukup berhemah, sopan santun dan tegas dalam mengambil sesuatu tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru.

Najib yang juga Presiden UMNO bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa menziarahi Anwar yang baru selesai menjalani pembedahan di HKL.

Kunjungan itu turut mendapat komen positif para netizen sebaik Perdana Menteri memuat naik gambar berkenaan di Facebook dan Twitter beliau.

Malah keluarga Anwar juga mengucapkan terima kasih di atas kunjungan Najib itu.

Bekas Ketua Pembangkang itu selamat menjalani pembedahan di HKL pada 12 November lalu bagi merawat kecederaan di bahu kanannya berikutan terlibat kemalangan sebelum ini. – 19 November 2017.