Gagal Siap Projek, Kontraktor RKB Ditamatkan Serta Merta

Kontraktor projek Rumah Kekal Baharu (RKB) di Kampung Manjor, Kuala Krai ditamatkan serta-merta ekoran kegagalan mereka menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan amat memalukan kerana RKB masih belum disiapkan meskipun banjir telah berlalu hampir tiga tahun.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan perkara tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kontraktor yang tidak menjalankan amanah.

“Kita amat dukacita, saya sentiasa pantau tetapi malangnya kontraktor yang dilantik tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Perkara ini diharap dapat diambil ikhtibar supaya tidak akan berlaku di masa hadapan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Jeli Best 2017 di Dewan Utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli.

Sebanyak 33 keluarga mangsa banjir besar 2014 di Kuala Krai telah meminta pemaju mempercepatkan pembinaan RKB di kawasan Kampung Manjor yang masih tertangguh.

Kesemua mangsa adalah dari kawasan Sungai Sam (13), Manjor (14), Gajah Barat dan Timur (6).

Projek pembinaan RKB seluas 2.5 hektar itu telah dimulakan sejak Mac lalu dan sepatutnya siap pada Julai.

Dalam pada itu Mustapa berkata, projek berkenaan akan diteruskan dan diharap dapat disiapkan hujung tahun ini.

“Difahamkan kontraktor sebelum ini telah mengubah dari kaedah konvensional kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Projek ini akan diteruskan mengikut kaedah konvensional dan kita akan pastikan ia dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya. – 19 November 2017.