Keluarga Harap Pembunuh Segera Ditangkap

Keluarga pasangan suami isteri yang dibunuh kejam dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu pada Rabu lalu berharap individu terlibat segera ditangkap dan dikenakan hukuman seberat-seberatnya.

Kha Eng Choon, 51, abang sulung kepada mendiang Kha Eng Ni berkata, tragedi yang menimpa ahli keluarganya itu sangat mendukacitakan memandangkan si pelaku itu adalah pekerja adiknya sendiri yang sentiasa diberi layanan baik.

Katanya, hubungan mereka cukup rapat dan pemergian adiknya itu cukup dirasai.

“Adik selalu memuji sikap suspek yang rajin bekerja malah mereka memberi layanan yang cukup baik sepanjang lelaki berkenaan bekerja dengan mangsa.

“Setahu saya, tidak pernah dengar lagi adik merungut mengenai suspek sebelum ini. Jika ada masalah, mereka akan berbincang dan selesaikan secara baik,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian tiga beranak tersebut di Tanah Perkuburan Cina Kampung Merabang.

Sementara itu, Eng Choon berkata, mereka masih tidak tahu punca sebenar sehingga suspek tergamak membunuh majikannya sendiri.

“Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya. – 19 November 2017.