PAS, PAN Buang Masa Isu Remeh Temeh, Abai Tugas Hakiki

Isu perebutan hak milik Wisma Tok Guru di Salor terlalu remeh dan kedua-dua pihak iaitu PAS dan parti serpihannya PAN terlalu membesar-besarkan perkara tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, PAS tidak perlu membuang masa ‘berperang’ dengan PAN sehingga mengabaikan tugas sebenar sebagai sebuah kerajaan di Kelantan.

“Apa pasal PAS buang masa layan PAN? Adalah lebih baik jika dia fokus terhadap Bajet Kelantan 2017 yang akan dibentangkan tidak lama lagi. Persembahkan bajet yang terbaik, bukan retorik sebagaimana bajet-bajet terdahulu.

“Sejak 27 tahun lalu, PAS sering kemukakan bajet yang tidak memberi gambaran kedudukan sebenar kewangan mahupun urus tadbir negeri. Dia tidak pernah laksanakan keseluruhan apa yang telah dibentang. Ini patut jadi fokus PAS.

“PAN pula sepatutnya menjadi parti yang amanah sebagaimana nama dia. Kembalikan premis itu kepada pemilik yang sah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW kepada 70 usahawan bergerak di Pusat Transformasi Ilmu Machang.

PAS Kelantan dikatakan membeli tanah Wisma Tok Guru dan memberi peringatan kepada PAN yang menjadikannya sebagai markas supaya mengosongkan bangunan itu selewat-lewatnya pada 16 November lalu.

Bagaimanapun Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa tetap berkeras tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru dan membawa kes tersebut ke mahkamah.

Husam yang juga ADUN Salor mengemukakan permohonan injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap pemilik baharu tanah Wisma Tok Guru iaitu Mohd. Yasin Yusoff.

Beliau dalam injunksinya memohon perintah mahkamah agar Wisma Tok Guru tidak diganggu sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah hasil perbicaraan bermula 4 Disember ini.

Permohonan Husam malangnya ditolak mahkamah. – 19 November 2017.