Polis Jumpa Lori Kes Bunuh Tiga Beranak

Polis menemui sebuah lori berwarna putih yang dilarikan suspek kes pembunuhan tiga beranak pada Rabu lalu di kawasan berhampiran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, kenderaan tersebut dijumpai dalam keadaan berkunci oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semasa melakukan rondaan di kawasan itu sekitar pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun katanya, suspek tidak berada di dalam lori tersebut.

“Lori itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa untuk pemeriksaan forensik,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan alat perkakasan, Kha Eng Ni, 42, dan isterinya, Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu.

Manakala seorang lagi anak mangsa, Kha Zee Hanz, 13, terbunuh akibat hentakan kuat di kepala dengan tukul oleh suspek, Sharat Eh Wang @ Pot, 31, yang bekerja sebagai pemandu van dengan pasangan suami isteri tersebut. – 19 November 2017.