Anggota PGA Lemas Ketika Cari Kepah 

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa ditemui mati lemas ketika mencari kepah bersama rakannya  di Sungai Pengkalan Datu, Pulau Belacan kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira ‪pukul 2.30‬ petang, mangsa, Mohd. Haniff Hassan, 34, menyertai dua rakannya mencari kepah di kawasan sungai yang jaraknya 15 meter dari tebing.

Dia dikatakan turun ke sungai tersebut dengan berjalan kaki ekoran pada ketika itu air sungai hanya pada paras buku lali.

Selepas lebih sejam mencari kepah dia kemudian cuba naik ke darat dan berenang bersendirian kerana air ketika itu mula pasang sehingga mencecah paras pinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, seramai 14 anggota dari Balai Pengkalan Chepa, Pasukan Penyelamat Di Air dan Pasukan Bomba Sukarela dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa ditemui pada ‪pukul 5.37‬ petang berhampiran lokasi dia dikatakan dihanyutkan. Mayat tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kota Bharu,  Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ 11) untuk bedah siasat. – 20 November 2017.