BN Kesal Kerajaan PAS Kelantan Terus Hentam Pusat

Barisan Nasional (BN) Kelantan kesal dengan sikap kerajaan PAS negeri itu yang berterusan menghentam Kerajaan Pusat meskipun pelbagai bantuan dan pembangunan telah disalurkan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerajaan Pusat sentiasa dipersalahkan dan menjadi mainan sindiran wakil rakyat mereka.

Katanya, pelbagai usaha yang dilakukan di Kelantan selain menyalurkan bantuan, namun kerajaan negeri tidak pernah bersyukur.

“Pelbagai isu dibangkitkan termasuk kelewatan projek yang diluluskan seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dan Hospital Bachok selain Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Bagaimanapun, kita terima kritikan dan Kerajaan Pusat akan sentiasa membantu Kelantan demi kebaikan rakyat.

Memang kita dukacita dan merasakan seolah-olah tidak adil kerana kerajaan negeri dan Pusat sudah berbaik-baik,” katanya ketika ditemui di luar dewan persidangan DUN Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, projek pembinaan ECRL mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat termasuk bakal menarik pelabur ke kawasan Pantai Timur.

Katanya, kesan daripada pembinaan projek tersebut turut memberi kelebihan kepada Kelantan khususnya untuk menarik pelabur dan kemudahan perhubungan kepada rakyat.

“Jangan kata projek ini tidak penting atau tidak perlu didahulukan, kerana apa yang dilakukan Kerajaan Pusat sudah dikaji terlebih dahulu,” katanya. – 20 November 2017.