Golongan Belia Digalakkan Ceburi Bidang Perniagaan

Golongan belia di seluruh negara digalakkan menceburi bidang perniagaan melalui pelbagai program latihan dan modal yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara peluang disediakan oleh kerajaan yang perlu direbut oleh golongan tersebut adalah seperti Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Malah katanya, kerajaan juga telah menambah peruntukkan iaitu sebanyak RM40 juta bagi melahirkan lebih ramai usahawan Tube tahun depan.

“Kita juga menyediakan program latihan melalui Institut Automotif Malaysia (MAI). Hasil daripada manfaat latihan tersebut, lebih 4,000 golongan belia di Kelantan khususnya berjaya dilatih dengan 90 peratus daripada memperolehi pekerjaan.

“Pelbagai sumbangan telah dibuat bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Miti
Zon Pantai Timur 2017 di salah sebuah hotel di Kota Bharu.

Program yang berlangsung dua hari itu mendapat sambutan cukup memberangsangkan dengan kehadiran lebih 5,000 pengungjung.

Pelbagai program bermanfaat disediakan kepada pengunjung termasuk hampir 3,000 peluang pekerjaan di 27 syarikat multinasional serta peluang mengembangkan perniagaan.

Hari terbuka ini juga disertai pelbagai agensi dibawah MITI termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.).

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, program tersebut yang julung kalinya diadakan di Kelantan telah berjaya mencapai matlamatnya selain melepasi sasaran kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Katanya, hari terbuka tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan selepas diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lalu dan peringkat zon Utara di Meru, Perak, Mei lalu.

“Hari MITI ini diadakan adalah bagi mengeratkan lagi hubungan antara MITI serta agensi dengan orang ramai selain mempamerkan peranan yang dimainkan kementerian untuk pembangunan ekonomi negara,” katanya. – 20 November 2017.