Husam Tidak Tahu Anak Ditahan Polis

Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa memaklumkan bahawa beliau tidak tahu penahanan anaknya yang dilaporkan direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu memberitahu, beliau hanya maklum mengenai perkara tersebut apabila seseorang menghantar imej laporan sebuah portal berita melalui aplikasi Whatsapp.

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Saya juga tidak diberitahu di mana anak saya ditahan,” katanya dipetik dalam status facebook miliknya.

Media melaporkan anak lelaki seorang pemimpin PAN ditahan polis kerana memiliki 200 biji pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong kelmarin.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 3.30 petang.

Tambah Husam, beliau hanya diberitahu oleh seorang jiran bahawa anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang kelmarin.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai isu ini selepas dapat menemui anak saya pada waktu terdekat jika diizinkan polis serta mendapat kedudukan sebenar isu ini dari pihak polis,” katanya. – 20 November 2017.