Perodua Sasar Jualan Myvi Baharu 80,000 Unit

Perusahaan Otomobil Ke­dua Sdn. Bhd. (Perodua) menyasarkan jualan Myvi baharu sehingga 80,000 unit menjelang penghujung tahun depan berikutan sambutan yang cukup memberangsangkan terhadap kenderaan berkenaan.

Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd. (PCSB), Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sejak diperkenalkan pada 9 November lalu, pihaknya sudah menerima lebih 8,000 tempahan untuk semua lima varian Myvi baharu tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus tempahan melibatkan va­rian Myvi berkapasiti enjin 1.5 liter.

“Sehingga hujung tahun ini, kita menyasarkan antara 15,000 dan 16,000 unit dijual di seluruh negara. Manakala tahun depan, kita sasarkan jualan antara 75,000 dan 80,000 unit.

“Sambutan Myvi baharu ini dilihat cukup memberangsangkan berbanding keluaran sebelum ini. Sebelum lancar, ramai berpandangan kenderaan baharu itu menyerupai Myvi lama namun sebenarnya ia cukup berbeza dengan reka bentuk baharu yang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pameran kereta berkenaan bersempena dengan Hari MITI Zon Pantai Timur 2017 di Hotel Grand River View.

Myvi tersebut yang dilancarkan pada Khamis lalu menawarkan lima varian serba baharu pada harga bermula daripada RM44,300 sehingga RM55,300 sebuah tidak terma­suk insurans.

Lima varian ditawarkan itu me­rangkumi transmisi manual (MT) dan automatik (AT) iaitu Myvi 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT).

Myvi generasi ketiga serba baharu itu juga dilihat menampilkan rekaan yang lebih menarik, bergaya, selesa dan luas.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kebanyakkan pembeli kereta berkenaan terdiri daripada golongan muda.

“Keistimewaan Myvi baharu tersebut sehingga menarik minat pengguna itu juga terletak pada reka bentuknya seperti kereta mewah namun dengan harga berpatutan,” katanya. – 20 November 2017.