Bagaimana Nak Tadbir Negara, Daftar ROS Pun Gagal

PAS mempersoal dan menyindir keras Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimana untuk mentadbir negara sedangkan usaha menguruskan pendaftaran gabungan tersebut sehingga kini masih gagal.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kegagalan Pakatan Harapan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS jelas menunjukkan kelemahan pengerusinya.

“Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tiba-tiba hendak menguruskan pendaftaran parti pun tidak boleh selesai.

“Jadi bagaimana hendak uruskan negara. Lebih malang, mesyuarat agung PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebelum ini juga hanya dihadiri 12 orang sahaja.

“Dia (Mahathir) cakap hendak tukar kerajaan, guling Barisan Nasional (BN) namun kalau mesyuarat hanya 12 orang sahaja hadir, bagaimana hendak dapat sokongan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Semalam Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ROS tidak boleh meluluskan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang diketuai DAP kerana masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan oleh dua parti dalam gabungan pembangkang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, setakat ini, ROS masih belum menerima laporan akhir termasuk senarai terkini pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilaksanakan pada 12 November lalu.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, Parti PPBM pula masih gagal mengadakan perhimpunan agung selepas parti itu ditubuhkan tahun lalu.

Sebelum ini, Pada 21 Oktober lalu, Dr. Mahathir mendakwa ROS belum menjawab permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan DAP, PKR, PPBM dan PAN sebagai satu gabungan rasmi. – 21 November 2017.