Hanya 16 PKS Kelantan Sertai DFTZ

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menzahirkan rasa kecewa apabila hanya 16 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari Kelantan yang menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diasaskan oleh kerajaan Malaysia bersama Kumpulan Alibaba.

Mustapa berkata, daripada jumlah 1,972 PKS seluruh negara yang berdaftar dalam DFTZ setakat ini, hanya 16 atau kurang satu peratus merupakan penyertaan daripada PKS negeri itu.

Beliau berkata, banyak lagi usaha khusus akan dijalankan bagi memastikan bilangan itu bertambah sekurang-kurangnya kepada 100 PKS dari Kelantan menjelang hujung tahun hadapan.

“Kita dukacita kerana bilangan PKS Kelantan yang menyertai inisiatif perniagaan atas talian Kumpulan Alibaba menerusi DFTZ sangat sedikit.

“Tahun hadapan kita sasarkan 10,000 PKS menyertai DFTZ dan berharap 100 daripadanya adalah usahawan Kelantan.

“Ini penting kerana untuk menembusi pasaran dunia langkah yang terbaik adalah melalui atas talian dan kita mempunyai banyak produk tempatan Kelantan yang boleh dipasarkan tanpa had menerusi platform Kumpulan Alibaba yang merupakan syarikat ternama dunia dalam bidang ini,” katanya selepas merasmikan Seminar Peluang Pelaburan dan Pembangunan Untuk PKS anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – 21 November 2017.