Liat Beri Kerjasama Berkaitan GST

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan terdapat dewan perniagaan yang liat untuk memberikan kerjasama kepada pihaknya berkaitan isu cukai barang dan perkhid­matan (GST).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikan kerjasama kepada JKDM berkaitan isu berkenaan.

“Saya agak terkilan dengan sikap badan ini yang enggan memberikan kerjasama sedangkan perkara tersebut dapat membantu mereka memahami sepenuhnya berkaitan dengan GST.

“Kita sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama untuk turun padang bertemu dengan peniaga bagi memberikan penerangan berhubung perkara tersebut,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Dialog Bersama Ketua Pengarah Kastam Malaysia di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu.

Dalam pada itu, Subromaniam memberitahu, pihaknya optimis sasaran kutipan GST berjumlah RM42 bilion tahun ini mampu di capai. – 21 November 2017.