Masalah Pil Kuda Tidak Kenal Anak Siapa

Masalah penyalahgunaan dadah terutama pil kuda adalah masalah besar yang perlu diatasi secara bersama kerana ia tidak mengenal anak siapa sama ada ahli PAS, UMNO atau parti-parti lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab. Fattah Mahmood berkata, secara jujurnya, beliau sendiri juga sukar untuk menjalankan tanggungjawab meskipun mempunyai peranan dalam Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Katanya, sebagai Naib Presiden Pemadam, beliau tidak dibenarkan hadir ke program pencegahan dadah khususnya di sekolah-sekolah.

“Dadah ini tidak kenal anak siapa, tak kenal anak orang PAS atau UMNO.
Sebab itu saya sebut dalam dewan, sebagai Naib Presiden Pemadan juga tidak boleh masuk dalam sekolah,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Norzula Mat Diah (BN- Paloh) mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri dalam membantu pihak polis membanteras gejala penyalahgunaan dadah di Kelantan.

Dalam masa sama, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) turut mengemukakan soalan tambahan dan cadangan supaya kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama dalam menangani masalah tersebut.

Menjawab soalan tambahan Mustapa, Ab. Fattah berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan Pusat bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah terutama pil kuda di negeri itu.

Katanya, pelbagai program termasuk peringkat sekolah dilaksanakan melalui Pemadam bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bebas daripada gejala dadah.

“Selain program, kerajaan negeri juga menubuhkan pusat pemulihan Baitul Taubah di Pasir Puteh sejak 2008 dan sudah mengeluarkan seramai 1,000 anak bina yang diberi pelbagai latihan dan kemahiran seperti pertukangan, penyernakan, masakan,” katanya.

Sabtu lalu, polis menahan anak lelaki seorang pemimpin PAN kerana memiliki 200 biji pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 3.30 petang dam direman selama empat hari berakhir Rabu ini. – 21 November 2017.