Anak Husam Musa Didakwa Miliki Dadah

Anak lelaki Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20.0 gram, pada 18 November lalu.

Tertuduh, Ahmad Syafi, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Syafi didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20.0 gram di sebuah rumah di Lot 409, Jalan Pasir Mas Salor, Kampung Jelutong pada pukul 3.30 petang, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Shahirun Azri Mohd. Nordin yang menawarkan ikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili lima peguam diketuai oleh Firdaus Mohd. Yusuf memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin atas alasan ia merupakan kesalahan pertama.

Selain itu, empat peguam lain yang mewakili anak Husam ialah Mohd. Yusoff Yakob, Mohd. Ridzuan Muhamad, Ahmad Nuri Abd. Rahman dan Wan Abdullah Sani Wan Yusuf.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes pada 14 Januari tahun depan. – 22 November 2017.