Hujan Lebat Diramal Bermula Khamis Hingga Ahad

Hujan lebat berterusan diramal melanda negeri-negeri Pantai Timur bermula Khamis hingga Ahad ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari mengingatkan penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur agar mengambil maklum ramalan cuaca empat hari itu dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Amaran cuaca waspada ini dikeluarkan kerana pemantauan mendapati angin timuran bertiup agak kencang dari Laut China Selatan ke arah pantai timur Semenanjung Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Amaran cuaca waspada itu dikeluarkan apabila pemantauan jabatan tersebut mendapati hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi, ataupun hujan berterusan dijangka berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Alui turut menasihati penduduk di kawasan berkenaan agar sentiasa mengikuti laporan terkini menerusi laman web http://www.met.gov.my/ atau Facebook atau Twitter Metmalaysia, @malaysianmet.- 22 November 2017.