Kerajaan PAS Kelantan Akui Pusat Banyak Beri Bantuan

Kerajaan PAS Kelantan mengakui kerajaan Pusat sejak kebelakangan ini banyak membantu memberikan sumbangan dan melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun apa yang dibangkitkan oleh pihaknya apabila kerajaan gagal menyelesaikan beberapa projek yang dijanjikan sebelum ini seperti hospital di Bachok dan sekolah di Kuala Krai.

“Kita tidak salahkan kerajaan kerana ada benda (projek) yang berjalan. Apa yang dibangkitkan adalah sesuatu projek yang mendapat kelulusan sudah lama tetapi tidak berjalan.

“Memang banyak bantuan sebelum ini, kita ucapkan terima kasih namun kita berharap apa yang dijanjikan seperti pembesaran lapangan terbang Pengkalan Chepa contohnya dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN- Ayer Lanas) menzahirkan rasa kesal dengan sikap Kerajaan PAS Kelantan yang berterusan menghentam kerajaan Pusat meskipun pelbagai bantuan dan pembangunan telah disalurkan.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dilaporkan berkata, setiap kali sidang DUN, kerajaan Pusat sentiasa dipersalahkan dan menjadi mainan sindiran wakil rakyat mereka.

Untuk rekod, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM12.91 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi membiayai 338 projek pembangunan di seluruh ne­geri Kelantan.

Jumlah tersebut meningkat dua kali ganda berbanding peruntukkan sebanyak RM5.36 bilion yang disalurkan kepada negeri ini di bawah RMK-10.

Malah sebanyak 16 projek berimpak tinggi sedang dilaksanakan di Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM2.81 bilion di bawah rancangan lima tahun tersebut.

Selain itu, tujuh lagi projek berimpak tinggi akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM1.18 bilion.

Antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan ialah Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai; Jalan Bypass Pasir Mas; persimpang­an bertingkat lintasan kereta api Tanah Merah dan pemuliharaan Landasan Pantai Timur.

Turut dilaksanakan ialah pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli; Hospital Kuala Krai dan Bachok; Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas; Bangunan Gunasama Tunjong dan pelbagai lagi. – 22 November 2017.