Norzula Sebak Diarah Keluar Dewan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah diarah supaya meninggalkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub mengeluarkan arahan tersebut selepas Ketua Pembangkang itu dianggap melanggar peraturan dewan kerana mengganggu sesi penggulungan oleh pihak kerajaan negeri walaupun telah diberi amaran beberapa kali.

Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan mengalirkan air mata kerana mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini.

Sebagai tanda solidariti dan protes terhadap tindakan ke atas Nozula, empat lagi wakil BN iaitu Datuk Ramzi Ab. Rahman (Dabong), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Ab. Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) yang menghadiri persidangan turut meninggalkan dewan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar dewan, Nozula yang masih sebak secara ringkas berkata, beliau sedih kerana hak sebagai Ketua Pembangkang untuk berucap mewakili rakyat dinafikan sepenuhnya oleh Speaker DUN.

Terdahulu, Nozula berkali-kali memohon diberi ruang untuk berucap pendek ketika Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ne­geri, Datuk Dr. Ramli Mamat mahu memulakan sesi penggulungan.

Bagaimanapun permintaan beliau ditolak Abdullah dengan alasan kesemua wakil rakyat termasuk dari BN dan PAN telah diberi peluang secukupnya dalam sesi perbahasan semalam. – 22 November 2017.