Pasar Tanah Merah Berubah Wajah

Pasar besar Tanah Merah kini berwajah baharu selepas kerja menaik taraf telah siap sepenuhnya pada Ogos lalu.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kerja menaik taraf pasar tersebut membabitkan kos sebanyak RM1 juta yang diperuntukkan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Menurutnya, projek menaik taraf itu sekali gus memberi keselesaan kepada peniaga selain dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli di pasar berkenaan.

“Untuk kerja menaik taraf ini, kita telah membaiki struktur bangunan yang rosak dan beberapa kemudahan lain serta menaik taraf keseluruhan sistem pendawaian elektrik.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah meluluskan peruntukan menaik taraf pasar ini untuk kemudahan warga Tanah Merah,” katanya baru-baru ini.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan tiga tingkat itu bermula pada 5 Disember tahun lepas dan siap pada 14 Ogos lalu untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 700 peniaga di pasar tersebut.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk mencari peruntukan tambahan bagi membantu pasar berkenaan.

“Kita sudah bersyukur dengan apa yang ada setakat ini, tetapi saya tahu masih ada banyak lagi yang perlu ditambah baik untuk kemudahan rakyat di sini.

“Jadi, kita akan berbincang dengan Majlis Daerah Tanah Merah dan saya juga akan berbincang dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tambah RM1 juta lagi bagi melengkapkan lagi kerja menaik taraf pasar ini,” katanya. – 21 November 2017.