Tidak Patut Halang Perpaduan Islam

Umat Islam tidak sepatutnya menentang sebarang kesepakatan dan kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai dua parti yang berkongsi perjuangan sama iaitu untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) mengakui, beliau kesal apabila ada sesetengah pihak berfikiran sempit menghalang kesepakatan itu.

Katanya, kumpulan itu menganggap UMNO dan PAS perlu bertelagah dan bermusuh selama-lamanya tanpa memikirkan kesan tersebut kepada negara.

Lebih dikesali, kumpulan tersebut sanggup meninggalkan perjuangan sedia ada dan mewujudkan parti serpihan hanya kerana enggan melihat UMNO dan PAS bekerjasama.

“Ada yang melihat konflik UMNO dan PAS ini sangat besar, seolah-olah tidak boleh dipertemukan langsung. Sehingga ada pula parti serpihan wujud kerana tidak mahu kebaikan (kerjasama) ini berlaku.

“Kenapa sampai begitu sekali? Tidakkah kita ada tanggungjawab kepada Allah SWT untuk kukuhkan Islam di bumi ini. Jadi apa bekalan kita di akhirat kelak? Pergaduhan dan konflik sesama sendiri?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Kelantan 2016 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Dalam perkembangan lain Md. Alwi berkata, usaha membawa masuk pembangunan ke Kelantan bukan mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran pemimpin untuk kekal istiqamah berjuang untuk rakyat.

Sebagai contoh katanya, projek Central Spine Road (CSR) dari Kota Bharu ke Kuala Krai hanya melalui Kok Lanas tanpa ada akses ke kawasan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan itu, saya tanya kenapa tidak turun ke Kok Lanas. Bagaimana rakyat Kok Lanas mahu memanfaatkan laluan tersebut jika tidak ada akses.

“Perkara ini mengambil masa sehingga tiga tahun barulah akses ke Kok Lanas diluluskan menerusi peruntukan tambahan. Sebab itu saya kata, kita kena mainkan peranan.

“UMNO main peranan, PAS main peranan. Barulah Kelantan boleh dimajukan,” katanya. – 22 November 2017.