ADUN BN Boikot DUN Kelantan

Pengusiran Ketua Pembangkang, Datuk Norzula Mat Diah dari dewan menyebabkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak memboikot sesi terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Tindakan tersebut sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub yang dianggap tidak adil kerana Nozula hanya cuba memperjuangkan haknya untuk berucap sebagai Ketua Pembangkang.

Pemboikotan itu menyaksikan Bajet Kelantan 2018 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Isnin lalu diluluskan sebulat suara kesemua 31 ADUN yang hadir tanpa undian daripada pembangkang.

Kelantan memilik 45 DUN. Daripada jumlah itu, PAS menguasai 31 kerusi, BN (12) manakala PKR dan PAN masing-masing satu kerusi.

Selain kesemua wakil BN, wakil tunggal PAN, Datuk Husam Musa turut memboikot persidangan tersebut atas alasan tanda solidariti dalam kalangan pembangkang.

Sementara itu, wakil tunggal PKR, Mohd. Roslan Puteh turut tidak hadir.

Terdahulu, sesi pagi sidang DUN Kelantan kecoh apabila Norzula (BN-Paloh) diusir dari dewan oleh Abdullah kerana dikatakan melanggar peraturan dewan apabila cuba mencelah sesi penggulungan oleh pihak kerajaan negeri.

Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan menangis teresak-esak kerana mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini.

Sebagai tanda solidariti kepada Norzula, empat lagi wakil BN iaitu Datuk Ramzi Ab. Rahman (Dabong), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ab. Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) yang menghadiri persidangan turut meninggalkan dewan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan, Norzula yang masih sebak mengakui sedih kerana hak sebagai Ketua Pembangkang untuk berucap mewakili rakyat dinafikan sepenuhnya oleh Speaker DUN.

“Hanya tiga orang Adun BN berucap dalam sidang DUN kali ini, kenapa tidak memberi peluang kepada saya juga?” soal beliau.

Sementara itu, Ramzi berkata, keputusan Abdullah pelik kerana dalam mana-mana sidang Parlimen atau DUN, Ketua Pembangkang akan diberikan ruang cukup untuk berucap.

Bagaimanapun, Abdullah tetap mempertahankan keputusannya mengarahkan Nozula keluar dewan.

“Paloh (Nozula) beberapa kali meminta ruang untuk berucap sehingga mengganggu persidangan sedangkan aturan dewan menetapkan sesi perbahasan sudah berakhir semalam dan hari ini diteruskan dengan sesi penggulungan oleh kerajaan negeri.

“Kita sudah beri amaran berkali-kali namun tidak diendahkan,” katanya. – 23 November 2017.