Jabatan Perhutanan Kelantan Kenal Pasti Aktiviti Preoses Kayu Secara Mobil

Jabatan Perhutanan Kelantan mengenalpasti lebih 10 kilang di negeri itu yang menjalankan aktiviti memproses kayu secara mobil (berpindah-randah).

Penolong Pengarah Kanan Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhitanan negeri, Nor Azirim Ahmad berkata, bagaimanapun aktiviti berkenaan masih terkawal kerana mereka hanya mampu bertahan di antara satu hingga tiga bulan sahaja sebelum dikesan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya mengambil tindakan terhadap hampir 10 kilang yang menjalankan aktiviti berkenaan.

“Aktiviti yang dijalankan itu sangat merbahaya kerana ia beroperasi secara 24 jam. Biasanya mereka hanya memproses sebatang kayu balak dalam tempoh satu hingga dua hari untuk dijadikan papan lapis.

“Selepas diproses, papan berkenaan akan terus dijual ekoran permintaan yang tinggi di pasaran gelap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Pejabat Pengurusan Hutan Jajahan Machang, Bukit Bakar.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan Perancngan dan Pengurusan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri kelantan, Rosilan Said.

Operasi yang dijalankan selama 10 hari bermula 14 November melibatkan seramai 110 anggota daripada enam agensi penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Nor Azirim yang juga Ketua Komandan Operasi itu berkata, pihaknya berjaya menyita enam buah kilang berasaskan kayu yang beroperasi secara haram sepanjang operasi berkenaan dilakukan.

“Enam buah kilang yang disita itu telah menjalankan operasi haram di beberapa daerah termasuk Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

“Kesemua kes ini disiasat mengikut Enakmen Berasaskan Kayu Pindaan Negeri Kelantan 2012,” katanya. – 23 November 2017.