PAS Kelantan Penakut, Ketua Pembangkang Ada Kehormatan Tersendiri

Datuk Husam Musa menyifatkan kerajaan PAS Kelantan sebagai ‘penakut’ apabila bertindak menghalau Ketua Pembangkang Datuk Norzula Mat Diah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Penasihat parti AMANAH Kelantan (PAN) itu berkata, amalan parlimen dan DUN, ketua pembangkang ada kehormatan tersendiri untuk diberi laluan berucap di dalam dewan.

Katanya, tugas sebagai Ketua Pembangkang adalah sangat besar dan speaker DUN boleh gunakan budi bicara untuk memberi laluan ia berucap.

“Ketua pembangkang wajib berucap sama ada dahulu atau masa-masa mana tetapi, tiba-tiba tak diberi berucap apa dunia nak kata kepada parti Islam?

“Lagipun Norzula dalam keadaan tak sihat akibat kena strok, takkan 11 exco kerajaan negeri yang gagah-gagah belaka takut hendak berdepan dengan dia (Norzula) seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis dialog yang diadakan di Tumpat hari ini.

Sesi pagi sidang DUN Kelantan semalam kecoh apabila Norzula (BN-Paloh) diusir dari dewan oleh speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub kerana dikatakan melanggar peraturan dewan apabila cuba mencelah sesi penggulungan oleh pihak kerajaan negeri.

Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan menangis teresak-esak kerana mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini.

Sebagai tanda solidariti kepada Norzula, empat lagi wakil BN iaitu Datuk Ramzi Ab. Rahman (Dabong), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ab. Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) yang menghadiri persidangan turut meninggalkan dewan.

Selain kesemua wakil BN, wakil tunggal PAN, Datuk Husam Musa turut memboikot persidangan tersebut atas alasan tanda solidariti dalam kalangan pembangkang.

Sementara itu, wakil tunggal PKR, Mohd. Roslan Puteh turut tidak hadir.

Kelantan memilik 45 DUN. Daripada jumlah itu, PAS menguasai 31 kerusi, BN (12) manakala PKR dan PAN masing-masing satu kerusi.

Dalam sidang tersebut hanya tiga ADUN BN diberi laluan berucap.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tersebut, Husam mempersoalkan seringkali sidang DUN Kelantan dilihat mahu ditamatkan awal.

“Setiap kali bersidang, DUN Kelantan terkejar-kejar untuk bersurai.

“Apa yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terburu-buru tak menentu?,” soalnya.

Husam yang juga ADUN Salor berkata, Pahang yang dikuasai UMNO boleh bersidang sampai tujuh hari untuk sidang Belanjawan.

“Mengapa Kelantan mesti hanya dua hari, dari tiga hari, petangnya tidak ada sidang, masa sebenar bersidang kurang dari tiga hari”

“Atas solidariti pembangkang, saya turut memboikot penggulungan perbahasan oleh kerajaan,” katanya. – 23 November 2017.