Pemuda UMNO Serah Memorandum Bantah Speaker Halau Norzula

Lebib 100 ahli Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berhubung tindakan beliau mengarahkan
Datuk Norzula Mat Diah keluar dewan ketika sesi penggulungan bajet semalam.

Memorandum itu diserahkan Ketuanya, Mohd. Azam Ismail kepada wakil Abdullah yang juga Setiausaha DUN Kelantan, Nik Khairul Anuar Nik Yusof di depan pintu pagar Kompleks Kota Darulnaim kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Mohd. Azam berkata, pihaknya melihat tindakan Speaker DUN itu merupakan langkah tidak demokratik apabila tidak memberi ruang kepada Norzula yang juga Ketua Pembangkang untuk membahas bagi mewakili rakyat di dewan tersebut.

“Adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Speaker menolak permohonan Norzula sebagai kapasiti Ketua Pembangkang untuk berucap.

“Jika Speaker menggunakan alasan masa dan peluang telah diberikan kepada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini, ia merupakan alasan yang dangkal jika dibandingkan amanah yang dipikul di bahu ADUN selaku wakil kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Sementara itu, beliau juga menyelar tindakan Timbalan Speaker DUN, Latiff Abd. Rahman yang mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Norzula yang menangis ketika diusir keluar itu sebagai ‘lakonan air mata’.

“Bagi kami, Speaker dan Timbalannya telah gagal untuk mengemudi dewan dengan baik kerana tidak boleh bersikap adil dan saksama dalam memberi ruang kepada Norzula untuk berucap walaupun sekejap.

“Dengan ini, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka dan mendesak Speaker dan Timbalannya itu meletakkan jawatan,” katanya.

Sidang DUN Kelantan yang berakhir semalam kecoh seketika apabila Norzula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, diarahkan meninggalkan dewan.

Abdullah mengeluarkan arahan tersebut selepas Norzula dianggap melanggar peraturan dewan kerana mengganggu sesi penggulungan oleh pihak kerajaan negeri walaupun telah diberi amaran beberapa kali.

Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan mengalirkan air mata kerana mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini. – 23 November 2017.