Wakil BN Kesal Tindakan Speaker DUN

Seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa amat kesal dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub yang mengarahkan Datuk Norzula Mat Diah keluar dewan ketika sesi penggulungan hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, sebagai Ketua Pembangkang, Norzula sepatutnya diberi laluan untuk terlibat di dalam perbahasan.

“Dewan Undangan Negeri dan sesi belanjawan adalah satu-satunya pentas dan ruang untuk ADUN menyampaikan pandangan dan meluahkan sebarang isu termasuk keluhan dari rakyat yang diwakili mereka.

“Tindakan menghalang ADUN dari menunaikan tanggunjawab ini adalah amat keji.

“Walaupun Norzula masih belum pulih sepenuhnya dari serangan stroke, beliau tetap gagahkan diri hadir dalam dewan demi menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya,” katanya yang mewakili wakil BN dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tindakan Speaker DUN untuk tidak bertolak ansur apa lagi mempertimbangkan keadaan kesihatan serta bertegas mengusir Norzula keluar dari dewan tidak boleh diterima.

Dalam masa sama katanya, tindakan timbalan Speaker mengatakan tindakan Norzula sebagai ‘lakonan air mata’ juga adalah tersangat biadab dari seorang wakil rakyat yang muda terhadap Norzula yang jauh berpengalaman.

“Sikap tidak demokratik DUN Kelantan ini menggambarkan kerajaan pimpinan PAS sangat takut untuk menghadapi keluhan dan suara rakyat secara berdepan.

“YB (Yang Berhormat) Paloh hanya ingin menyampai keluhan rakyat Gua Musang terhadap kebimbangan mereka apabila bukit ditarah, balak di tebang dan Hutan Simpan Kekal diteroka sehingga 200 ribu hektar.

“Beliau juga ingin menyampaikan kebimbangan penduduk orang asli di Gua Musang terhadap cadangan pembinaan Empangan Nenggiri yang disebut oleh Menteri Besar dalam ucapan belanjawan pada hari pertama persidangan.

“Kami ADUN-ADUN BN Kelantan amat kesal dengan sikap tidak profesional dan berat sebelah ini,” katanya yang juga ADUN Kok Lanas. – 23 November 2017.