Nasihat UMNO, Bawa Pulang Bekalan Berharga Ke Kelantan

UMNO Kelantan berharap setiap perwakilannya yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017, awal bulan depan membawa balik bekalan berharga ke negeri itu untuk dimanfaatkan ketika berjuang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, parti itu berdepan cabaran getir kerana PRU-14 bakal menentukan kelangsungan perjuangan UMNO.

Lebih penting kata beliau, pilihan raya itu akan menentukan bagaimana bangsa Melayu dan negara ini dicorakkan pada masa depan.

“Perhimpunan Agung UMNO 2017 ialah perhimpunan terakhir sebelum kita menghadapi PRU-14. Ini perhimpunan amat penting untuk parti memastikan gerakan kita tersusun, semangat kita tinggi dan hati-hati kita berjaya disatukan.

“Harapan saya kepada wakil UMNO Kelantan amat tinggi, iaitu hasilkan sesuatu dalam perhimpunan tersebut dan bawa balik bekal ke kawasan masing-masing.

“Bekalan berharga inilah yang akan kita gunakan untuk meneruskan perjuangan membela bangsa, menjaga negara dan memartabatkan Islam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menasihatkan mereka yang dilantik sebagai jurucakap supaya serius dan memanfaatkan peluang sebaik mungkin bagi menyuarakan mesej daripada rakyat serta berkongsi pandangan bagaimana mahu memantapkan parti.

Md. Alwi, 60, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, sudah lebih 10 kali menjadi jurucakap UMNO Kelantan pada perhimpunan itu sejak 1991.

Pembabitan aktif beliau itu merangkumi tiga era Presiden iaitu ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak. – 24 November 2017.