Ponteng Parlimen, Salahkan PAS?

Pakatan Harapan tidak sepatutnya meletakkan kesalahan kepada PAS sebagai penyebab kerajaan menang tipis dalam sesi pengundian Bajet 2018 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd. Nassruddin Daud menegaskan, Pakatan Harapan perlu menyalahkan 26 wakil rakyatnya yang ponteng pada sesi pengundian tersebut.

Katanya, mereka tidak boleh mengharapkan kepada PAS kerana parti itu sudah tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan.

“Saya pun pelik, kesalahan dia (Pakatan Harapan) buat namun dia letakkan kepada PAS. 26 orang wakil rakyat Pakatan Harapan tidak hadir tetapi kerana dua wakil PAS mengambil pendekatan berkecuali pada sesi pengundian itu, dia kata kita sebagai punca kekalahan.

“Wakil rakyat Pakatan Harapan yang ramai, kenapa tidak pergi Parlimen, hendak harap dekat orang (PAS) buat apa. Kita sudah tidak pakat, jangan mengharap lagi.

“Terpulanglah kepada PAS hendak kecuali atau apa kerana kita sudah tidak ada kena mengena. Pergi tanya 26 wakil rakyat yang tidak hadir itu,” katanya ketika berucap sempena Ceramah Perdana Pasca Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Perasmian Bilik Operasi Pilihan Raya PAS kawasan Kota Bharu.

Sementara itu, Nassruddin berkata, lawan PAS bukan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga melibatkan Pakatan Harapan. – 24 November 2017.