37 Mangsa Banjir Pertama Dipindahkan Di Kelantan

Seramai 37 penduduk terdiri daripada enam keluarga di sekitar Ketereh dan Kok Lanas, Kota Bharu menjadi kumpulan mangsa banjir pertama di Kelantan hari ini.

Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan banjir Islamic Outreach ABIM Kok Lanas.

Pusat pemindahan banjir berkenaan dibuka pada pukul 1 petang ini selepas kediaman penduduk berkenaan mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Sementara itu, orang ramai yang tinggal di sekitar tebing Sungai Golok, Rantau Panjang pula perlu berwaspada terhadap kemungkinan banjir berikutan paras air Sungai Golok kini melepas paras berjaga-jaga 7 meter.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras air sungai tersebut setakat 2 petang ini mencecah 7.65 meter, iaitu menghampiri paras amaran 8 meter. Bagaimanapun, sungai-sungai lain masih di paras normal.

Laman web tersebut turut melaporkan jajahan Gua Musang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Puteh menerima taburan hujan kategori sangat lebat sejak tengah malam tadi.

Pasir Puteh menerima purata taburan hujan tertinggi iaitu 181 mm, diikuti Tanah Merah (158mm), Kota Bharu (77mm) dan Gua Musang (66mm). – 26 November 2017.