PAN Kata PAS Semakin Celaru

PAN menyifatkan parti Islam PAS sebagai sebuah parti yang telah hilang paksi, tidak tahu ke mana arah perjuangan sebenar.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, PAS kini nampak seolah-olah keliru dengan perjuangannya sendiri.

“Parti itu kini mengamalkan perjuangan yang bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Mereka (kadang-kadang) nampak celaru, tidak tahu sistem mana yang dipakai.

“Itulah sebabnya dalam Parlimen mereka mengambil pendirian untuk berkecuali, bila masa undi mereka takut untuk membuang undi bantah atau tolak sesuatu cadangan,” katanya.

Katanya, prinsip PAS berbeza dengan PAN yang lebih menekankan konsep keterbukaan terhadap kaum dan agama lain.

“Pada zaman Rasulullah SAW, sesiapa sahaja yang menentang khalifah akan dianggap ingkar kepada agama.

“Tetapi Amanah (PAN) menjadikan kepimpinan khalifah pada zaman Rasulullah sebagai rujukan dan panduan kepada perjuangan kami,” katanya.

Beliau berkata, kaedah PAN itu lebih praktikal dalam melindungi kepentingan umat Islam berdasarkan perlembagaan negara. – 26 November 2017.