PRU14 Selepas Tahun Baharu Cina?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas Tahun Baharu Cina tahun depan.

Ketika berucap merasmikan Tokong Teoh Fu Kiong di Hutan Melintang, Perak hari ini beliau berkata, akan ada ‘hari besar’ lain selepas Tahun Baharu Cina.

“Jangan lupa Hari Besar (Tahun Baharu Cina) akan sampai, lepas Tahun Baharu Cina akan ada “Hari Besar’ lain.

“Kalau dulu bikin silap, tak undi Barisan Nasional (BN) tak pa saya maafkan. Kalau boleh kali ini jangan bikin silap lagi woo,” katanya dalam loghat Tionghoa berbahasa Melayu.

‘Hari besar’ yang digunakan Ahmad Zahid itu seolah-olah merujuk kepada PRU14 yang terus menjadi tanda tanya bila akan diadakan.

Tahun Baharu Cina dijangka disambut pada 16 dan 17 Februari 2018.

Mandat kerajaan yang ada hanya akan berakhir pada 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh luput itu. – 26 November 2017.