Yang Kuat Berpecah Adalah Melayu

Negara tidak mungkin bergerak ke hadapan sekiranya masyarakat berpecah-belah, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, sejarah pembentukan negara bangsa berpaksi kepada penyatuan dalam kalangan orang-orang Melayu.

“Kalau orang Melayu tidak bersatu, kaum lain juga tiada tempat dalam negara. Bila orang Melayu bersatu, baharulah terbentuk negara bangsa.

“Yang kuat berpecah adalah orang Melayu. UMNO berpecah kepada Bersatu (Parti Peribumi Bersatu Malaysia), PAS kepada Amanah (PAN), habis semua orang Melayu pecah, jadi ke mana kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan UMNO Malaysia, semalam.

Annuar berkata, UMNO amat mengalu-alukan jika ada kesedaran mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk memikirkan perkara berkaitan penyatuan itu.

“Saya mengalu-alukan (perbincangan dengan pembangkang), jika ada sikap sedemikian, itulah yang kita harapkan. Walaupun ada pelbagai platform, pelbagai parti, kita perlu melihat pada matlamat.

Tambahnya, perbezaan pendapat tidak seharusnya sampai menghancur atau melemahkan bangsa Melayu. – 26 November 2017.