April Masa Sesuai Kata Penganalisis

Penganalisis politik berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diramal akan diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina sebagai masa yang paling sesuai.

Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, tarikh luput mandat kerajaan Persekutuan adalah pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat.

“Saya jangkakan PRU14 akan dijalankan pada April memandangkan pada Mei merupakan tempoh terlalu dekat dengan permulaan puasa diikuti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun.

“Saya setuju dan yakin PRU14 akan diadakan dalam tempoh ini apatah lagi isu persempadanan PRU juga telah diselesaikan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, ramalan tersebut nampak kuat kerana pada masa itu genaplah sembilan tahun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya rasa ia lebih berkemungkinan pada April kerana ini akan membolehkan Najib memberikan kad laporan penuh kejayaannya sebagai perdana menteri termasuklah pencapaian Bajet 2018,” katanya.

Menurutnya, pencapaian Bajet 2018 dan penyelesaian kepada isu kos sara hidup terutamanya harga minyak akan menjadi penilaian utama buat rakyat dalam berhadapan PRU14.

“Dari tempoh masa sekarang sehingga April depan, yang akan dilihat adalah sejauh mana pencapaian Bajet 2018

“Saya yakin perkara-perkara ini akan menjadi keutamaan buat rakyat membuat penilaian sepanjang empat bulan akan datang,” katanya. – 27 November 2017.