Cemas, Perahu Hampir Terbalik

Seorang ibu muda dari Kampung Banggol Tembakang, Ketereh bersama bayi sulungnya berusia empat bulan berhadapan detik cemas apabila perahu kecil yang dinaiki mereka ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan ( SK) Seri Ketereh semalam hampir terbalik dipukul arus deras banjir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Nik Ain Fariha Nik Ismail, 19, bersama 10 mangsa yang lain terpaksa berpindah ke pusat pemindahan selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras dada.

Nik Ain Fariha berkata, air naik dengan cepat sehingga menyebabkan mereka tiada pilihan kecuali segera berpindah kawasan yang lebih selamat.

“Ketika itu, saya sangat cemas. Apa yang ada difikiran adalah menyelamatkan bayi saya. Pada masa itu, saya memegang erat anak saya agar tidak jatuh ke dalam air.

“Keadaan perahu yang dinaiki itu begitu uzur dan beberapa kali kami hampir terjatuh akibat dipukul arus deras banjir.

“Kami terpaksa mencari inisiatif sendiri kerana pada masa itu, pasukan keselamatan masih belum tiba bagi menyalurkan bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini. -27 November 2017.