Keadaan Lebih Bahaya, Taburan Hujan Meningkat

Hujan lebat yang melanda kawasan hilir negeri Kelantan sejak kelmarin dilaporkan bakal beralih ke kawasan tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Kamal Mustapha, setakat ini, paras air sungai-sungai utama di kawasan hulu masih berada di bawah paras bahaya.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan sungai tersebut sudah mula menunjukkan trend peningkatan sejak semalam.

“Sebenarnya sekarang ini, hujan lebat yang melanda Kelantan ialah hujan pantai, belum hujan hulu lagi dan mengikut laporan terbaharu Jabatan Meteorologi, hujan kini sedang menuju ke hulu.

“Walaupun keadaan sungai-sungai di hulu masih normal, paras airnya sudah mula meningkat.

“Jadi berkemungkinan besar dalam masa beberapa hari lagi atau minggu depan, keadaan akan menjadi lebih bahaya disebabkan taburan hujan meningkat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Karnival JPS Kelantan 2017 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat, hari ini.

Mohd. Faudzi turut melancarkan aplikasi percuma, KelGov JPS yang dibangunkan oleh JPS Kelantan bagi membolehkan orang ramai memantau situasi banjir di seluruh negeri itu.

Kamal dalam pada itu menasihatkan orang ramai segera memuat turun aplikasi berkenaan yang menyediakan data lengkap mengenai taburan hujan dan situasi terkini paras air sungai di Kelantan.

“Kita minta masyarakat jangan hanya tengok khabar angin tular, atau dengar cakap-cakap orang kampung sahaja. Sebaliknya, teliti data yang kita sediakan dan nilaikan sendiri keadaan tersebut.

“Sebagai contoh, taburan hujan mencecah 100 mm iaitu sangat lebat, manakala hari ini paras air sungai naik melebihi paras bahaya 9 meter.

“Maknanya, kalau rumah anda di kawasan rendah, bersiap sedialah berdepan dengan banjir,” katanya.

Tegas beliau, mendapatkan maklumat seumpama itu dan melakukan persiapan awal sekurang-kurangnya mengurangkan risiko dan beban terpaksa ditanggung mangsa banjir sehingga 50 peratus. – 27 November 2017.