Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 319 mangsa melibatkan 90 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Mangsa yang terjejas masing-masing di daerah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Sementara itu, menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, pusat pemindahan banjir berkenaan dibuka pada pukul 1 petang semalam selepas kediaman penduduk di beberapa daerah tersebut mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Selain itu, orang ramai yang tinggal di sekitar tebing Sungai Golok, Rantau Panjang pula perlu berwaspada terhadap kemungkinan banjir berikutan paras air Sungai Golok kini melepasi paras berjaga-jaga.

Menurut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai tersebut setakat pukul 7 petang pada Ahad mencecah 7.84 meter, iaitu menghampiri paras amaran 8 meter.

Bagaimanapun, sungai-sungai lain masih di paras normal. 
- 27 November 2017.