Paras Sg. Golok Cecah 10 Meter Malam Ini, Kemungkinan Banjir Lebih Buruk

Paras air Sungai Golok dijangka akan terus meningkat sehingga mencecah 10 meter menjelang malam ini ekoran hujan berterusan sepanjang hari.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Kamal Mustapha berkata, secara keseluruhan, semua sungai di Kelantan menunjukkan trend meningkat, namun Sungai Golok dilaporkan paling kritikal.

Difahamkan , paras air sungai itu kini mencecah 9.40 meter.

Sehubungan itu, penduduk di sepanjang tebing Sungai Golok dan kawasan sekitarnya diminta bersedia menghadapi kemungkinan banjir yang lebih buruk.

“Bila kita beri amaran awal begini, bukan bermaksud seluruh bandar Rantau Panjang akan tenggelam, cuma kita mahu orang ramai tahu mereka perlu bersiap sedia lebih awal kerana paras air sungai tersebut sedang menaik.

“Kalau buat persiapan awal, sekurang-kurangnya risiko dan beban perlu ditangggung penduduk berkurangan sehingga 50 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Karnival JPS Kelantan 2017 hari ini.

Karnival JPS Kelantan 2017 dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat. – 27 November 2017.