Polis Beku Cuti, Bomba Kerah Anggota Hadapi Banjir

Polis membekukan cuti semua pegawai dan anggotanya sebagai persediaan untuk menghadapi banjir di Kelantan.

Ketua Polis negeri, Datuk Hassanuddin Hasan berkata, hanya pegawai dan anggota yang sedang bercuti serta menjalankan aktiviti agama seperti mengerjakan ibadah umrah sahaja diberikan pelepasan.

Menurutnya, anggota yang sedang bercuti dalam keadaan biasa akan dipanggil untuk menghadapi banjir.

“Semua anggota dan kelengkapan logistik kita berada dalam siap sedia untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Jika tidak mencukupi kita akan memohon kerjasama dengan agensi lain bagi melancarkan lagi tugas-tugas menyelamat,” katanya.

Hassanudin memberitahu, sehingga kini seramai 437 mangsa banjir berada di 11 pusat pemindahan sementara.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan mangsa dari lima daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah mengerahkan lebih 1,000 anggotanya dalam menghadapi banjir di negeri itu.

Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood berkata, setakat ini, keadaan masih terkawal namun pihaknya sentiasa bersiap-sedia dengan kemungkinan banjir di daerah-daerah lain khususnya di kawasan hulu Kelantan.

Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan penduduk khususnya di kawasan rendah yang terlibat dengan banjir agar berpindah ke pusat pemindahan dan tidak menunggu keadaan menjadi lebih buruk untuk bertindak.

“Kita dapati lebih 50 peratus penduduk yang mana kawasan mereka dinaiki air sudah berpindah. Mengikut ramalan kaji cuaca, hujan lebat dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan semua pihak diharap agar sentiasa bersiap-sedia,” katanya.

Tambahnya, keadaan pada masa kini tidak kritikal di mana terdapat kawasan yang airnya sudah mulai surut. – 27 November 2017.