Hampir 300,000 Rakyat Malaysia Bankrap

Hampir 300,000 rakyat Malaysia diisytihar bankrap sehingga Ogos tahun ini, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 72,114 kes diikuti Johor (50,255), Wilayah Persekutuan (46,377) dan Pulau Pinang (22,136).

“Negeri-negeri lain adalah Perak 19,733 kes, Sarawak 16,499, Kedah 14,343, Sabah 12,533, Pahang 10,415, Melaka 9,316, Negeri Sembilan 8,425, Kelantan 8,187 dan Terengganu 5,322 kes,” katanya.

Beliau menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Perlis mencatatkan kes paling terendah iaitu 1,037 kes.

Azalina berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia masih di dalam proses pengumpulan data dan hebahan kepada masyarakat terutamanya golongan bankrap yang disahkan kurang upaya, mengalami penyakit kronik dan penjamin sosial serta waris kepada bankrap yang sudah meninggal dunia untuk memohon pelepasan di bawah seksyen 33A.

“Bagaimanapun, golongan yang dibankrapkan selepas berkuat kuasa Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) ini disarankan agar memfailkan Penyata Hal Ehwal dan menetapkan Sasaran Sumbangan bagi membolehkan pelepasan automatik di bawah seksyen 33C,” katanya.

Menurut Azalina, pihak-pihak terlibat seperti bank-bank komersial sentiasa memberikan kerjasama sewajarnya kepada kerajaan untuk memastikan keadilan dan pentadbiran pengurusan kebankrapan berjalan dengan lancar. – 28 November 2017.