Jalan Jeli – Gua Musang Ditutup, Jambatan Setelu Tenggelam Lagi

Jalan Gua Musang-Jeli ditutup kepada semua kenderaan selepas jambatan sementara Pulau Setelu sekali lagi ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Jambatan tersebut ditenggelami air sedalam 0.3 meter mulai pukul 7 pagi hari ini.

Menurut Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil, kesulitan itu mungkin berlarutan sehingga beberapa hari sekiranya hujan lebat terus berlarutan.

“Jambatan mungkin akan tenggelam lebih lama lagi jika hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh beberapa jam lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, hujan lebat menyebabkan beberapa jalan telah dinaiki air, namun setakat ini belum ada penduduk yang terbabit dengan banjir.

Beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan cepat pindah jika air menunjukkan trend peningkatan.

“Keadaan hujan lebat yang berterusan pada musim tengkujuh sekarang mudah terdedah kepada kejadian banjir,” katanya. – 28 November 2017.