Gua Musang Mula Dilanda Banjir

Beberapa kawasan di Gua Musang mula dinaiki air ekoran hujan yang berterusan sejak semalam.

Kawasan yang terjejas ialah di Kampung Jeram Tekoh, Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kampung Kerinting, Kampung Lembaga, Kampung Kundur, Kampung Tiong, Tanah Putih, Kampung Kolam Mas, Batu Papan, Sungai Chindai, Kampung Batu 1 dan Kampung Batu 2.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, hampir 60 mangsa membabitkan 13 keluarga di Kampung Jeram Tekoh telah berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Pusat pemindahan telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 pada pukul 1 pagi ini.

“Kita berharap penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah,” katanya.

Mohd. Taufik berkata, laluan ke Bandar Lama Gua Musang yang dinaiki air sejak awal malam tadi sudah mulai surut dan boleh dilalui semua kenderaan.

Beliau mengingatkan, penduduk kampung harus bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir secara mengejut kerana hujan masih lagi turun.

Menurutnya, paras air sungai Galas di Limau Kasturi dan di Kampung Lembaga menunjukkan paras bahaya. – 1 Disember 2017.