UMNO Terus Bantu Mangsa Banjir

Biro Kebajikan UMNO Malaysia pada peringkat awal persiapan banjir telah menyediakan 5,000 bungkusan barangan keperluan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan menerusi semua kepemimpinan UMNO bahagian yang terlibat dengan musibah itu.

Pengerusi biro itu, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, keutamaan bantuan tersebut adalah kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sama ada mereka bertahan di rumah atau tinggal di kediaman saudara mara.

“Kumpulan ini sering terlepas pandang sebelum ini dan jarang menerima bantuan yang sepatutnya. Kali ini tumpuan perlu diberikan.

“Mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara sudah mendapat pembelaan yang secukupnya hasil kecekapan pengurusan yang diuruskan oleh agensi-agensi kerajaan yang terbabit,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan yang sama kepada semua Ketua UMNO Bahagian yang terlibat dengan banjir.

“Pucuk pimpinan parti mengarahkan agar bantuan ini diuruskan oleh jentera peringkat bahagian yang sememangnya mengenali rakyat mereka atau mangsa banjir yang sepatutnya menerima agihan bantuan yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan kecekapan semua agensi yang terlibat dalam proses memindahkan mangsa banjir dan pengurusan di PPS tanpa menimbulkan sebarang isu.

“Pengurusan yang cemerlang, semakin tersusun dan wujud kesepakatan semua jentera kerajaan dengan melipat ganda perkhidmatan kepada rakyat termasuk fokus utama kepada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak menerusi operasi menyelamat,” katanya. – 1 Desember 2017.