Banjir Di Rantau Panjang Semakin Pulih

Situasi banjir di pekan Rantau Panjang semakin baik dengan kebanyakkan peniaga sudah kembali membuka premis masing-masing meskipun keadaan cuaca sepanjang hari ini hujan renyai-renyai.

Tinjauan di pekan tersebut mendapati jalan utama ke pekan tersebut sudah surut sepenuhnya dengan terdapat dalam kalangan peniaga mengambil kesempatan membersihkan kedai masing-masing dan meneruskan perniagaan seperti biasa.

Seorang peniaga kedai runcit, Abu Bakar Daud, 56, berkata, dia kembali memulakan perniagaan sejak semalam selepas banjir di pekan tersebut beransur pulih dan keadaan bertambah baik hari ini.

Bagaimanapun katanya, kesemua peniaga di sini masih mengambil pendekatan berjaga-jaga kerana keadaan cuaca dilihat masih hujan.

“Ketika banjir mula melanda pada Selasa lalu, air di kedai saya mencecah sehingga paras pinggang. Ketika itu, saya sudah bersedia dengan menyimpan barangan di tempat lebih tinggi.

“Saya jangka sekiranya cuaca baik dalam tempoh dua tiga hari ini, keadaan akan pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Banggol Kulim, Ibrahim Omar, 60, berkata, dia berharap keadaan akan kembali pulih dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya segera pulang ke rumah.

Katanya, dia juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat dan petugas-petugas di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi yang melayan semua mangsa dengan cukup baik.

“Banjir di kawasan ini adalah perkara biasa yang terpaksa dihadapi setiap tahun. Kali ini, banjir tidak seteruk mana namun jika berlaku gelombang kedua atau ketiga banjir, saya rasa ia lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, setakat pukul 5 petang ini daerah Pasir Mas khususnya Rantau Panjang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,157 orang membabitkan 2,971 di 31 PPS. – 2 Disember 2017.