Mangsa Banjir Dapat Bantuan Makanan

Kerajaan Pusat menyediakan bantuan makanan kepada keseluruhan 5,422 keluarga yang terlibat dengan banjir di Kelantan termasuk mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut disalurkan di seluruh PPS dan para petugas juga akan mengunjungi ke setiap rumah mereka yang terlibat bagi mengagihkan barangan keperluan itu.

Katanya, bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman.

“Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

“Saya ada bertemu Perdana Menteri pada Khamis lalu dan beliau meminta bantuan disegerakan kepada semua mangsa banjir.

“Bantuan yang diberikan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat dan komitmen seluruh jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan cukup baik bagi memastikan segala urusan membantu mangsa banjir berjalan lancar. – 2 Disember 2017.