Pasport Versi Baharu Antara Yang Tercantik Di Dunia

Rekaan pasport Malaysia versi baharu mempamerkan unsur kedamaian dan kesejahteraan negara dengan berkonsepkan lima rukun negara, tradisi, flora dan fauna.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia dapat dilihat menerusi paparan awal gambar-gambar simbolik kepada lima teras rukun negara.

“Gambar masjid iaitu simbolik kepada kepercayaan kepada Tuhan, Istana Negara (kesetiaan kepada raja dan negara), bangunan Parlimen (keluhuran perlembagaan), Istana Kehakiman (kedaulatan undang-undang) dan Muzium Negara yang menunjukkan warisan dan budaya kita (kesopanan dan kesusilaan),” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Menurut Mustafar, berdasarkan maklum balas orang ramai, pasport Malaysia versi baharu ini adalah antara pasport antarabangsa yang tercantik di dunia.

Beliau berkata, selain rekaan yang lebih cantik, pasport versi baharu itu turut mempunyai penambahbaikan pada ciri keselamatan.

“Muka surat biodata polikarbonat disertakan bersama cip di dalamnya berbanding sebelum ini cip di bahagian belakang pasport.

“Setiap halaman pada pasport juga mempunyai ciri keselamatan tambahan. Pengesahan dari segi ketulenan pasport tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya didedahkan melalui cahaya ultra-violet (UV),” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hampir 20,000 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan sejak 15 sehingga 29 November lalu.

Dalam pada itu, Mustafar menegaskan bahawa pasport versi baharu itu hanya dikeluarkan untuk permohonan baharu dan pasport sedia ada yang sah laku masih boleh digunakan.

Katanya, Jabatan Imigresen mengenakan pemeriksaan yang rapi terhadap setiap pasport dalam menentukan kesahihannya bagi memastikan standard mutu pasport Malaysia kekal unggul. – 2 Disember 2017.