UMNO Kelantan Tidak Akan Bekerjasama Dengan PAS

Kerjasama antara PAS dan UMNO tidak mungkin berlaku menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) khususnya di negeri Kelantan.

Perkara itu dikatakan telah diputuskan dalam satu mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang diadakan di “rumah putih” Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur minggu lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penerangan kepada Najib bahawa UMNO Kelantan tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS.

Justeru UMNO Kelantan bersiap sedia merampas Kelantan yang diperintah PAS sejak hampir 30 tahun lalu.

“Kerajaan persekutuan membantu negeri Kelantan dengan wang tunai dan projek bernilai berbilion ringgit.

“Tetapi PAS Kelantan berulang kali terus ‘menyakitkan’ hati kami. Macam mana nak berkawan kalau macam ni?

“Sebab itu UMNO Kelantan tidak setuju dengan pakatan pilihan raya di Kelantan. PAS adalah musuh politik bagi UMNO di Kelantan,” lapor sebuah portal berita online yang memetik maklumat sumber.

PAS mula memerintah Kelantan pada 1990.

Jun lalu parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR. Susulan itu timbul desasa-desus PAS kemungkinan akan bekerjasama dengan UMNO. – 3 Disember 2017.