Banjir Gelombang Kedua Diramal Jumaat Ini

Banjir gelombang kedua dijangka melanda Kelantan pada 8 Disember ini dengan ramalan berlakunya hujan di kawasan pedalaman.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah memaklumkan ramalan tersebut dan meminta penduduk sekitar supaya sentiasa berwaspada.

“Buat masa sekarang, paras air sungai Kelantan belum naik. Apa yang kita jangka gelombang kedua ini berlaku hujan di kawasan pedalaman serta fenomena air pasang besar.

“Jika kedua-dua ini berlaku pada waktu yang sama, ia akan bertembung dan berlakunya banjir gelombang kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hari Terbuka Dasar Amalan Baik Peraturan (GRP) di Hotel Perdana hari ini.

Mohd. Faudzi berkata, pihaknya juga turut membekukan cuti pegawai-pegawai kanan yang terlibat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua.

“Seperti tahun 2014, banjir gelombang pertama telah berlaku pada 17 Disember dan gelombang kedua pada 23 Disember sehingga akhir Disember.

“Jadi, kita kena bersiap sedia dari segala aspek,” katanya. – 4 Disember 2017.