JKM Bekal 70 Tan Bahan Mentah Seminggu

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan membekalkan lebih 70 tan keperluan bahan mentah di seluruh pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang tempoh seminggu gelombang pertama banjir di negeri itu.

Pengarahnya, Said Sidup berkata, barangan makanan tersebut seperti ayam, sayur, beras, telur serta roti untuk menampung lebih 15,000 mangsa banjir sepanjang tempoh tersebut.

Dalam masa sama katanya, JKM juga telah bersedia dengan bekalan tambahan di depoh simpanan yang mampu menampung 10,000 mangsa dalam tempoh tiga hari sekiranya berlaku banjir gelombang kedua.

“Penggunaan harian penyediaan makanan kepada mangsa banjir dianggarkan 1.6 tan ayam sehari, 500 kilogram sayur-sayuran sehari, 1,000 sarang telur sehari, 500 kotak besar sardin sehari dan lebih 50 tan beras membabitkan 216 PPS dalam tempoh seminggu ini.

“Dalam masa sama, kita juga membekalkan keperluan bahan mentah lain seperti ikan bagaimanapun ia bergantung kepada situasi,” katanya.

Sementara itu, Said berkata, secara keseluruhannya, mangsa di setiap PPS berpuas hati dengan makanan yang disediakan JKM termasuk dalam kalangan mereka yang mengakui hidangan tahun ini cukup ‘mewah’.

“Bagaimanapun terdapat segelintir mangsa khususnya dalam kalangan warga emas yang merindui makanan seperti ikan kering, budu dan hari ini kita telah penuhi kemahuan mereka,” katanya. – 4 Disember 2017.