Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Terus Berkurangan

Jumlah mangsa banjir di Kelantan sehingga pukul 8 pagi ini mencatatkan 8,134 orang berbanding 9,002 malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 3,237 keluarga. Mereka ditempatkan di 28 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 4,804 mangsa yang ditempatkan di 19 PPS, diikuti Tumpat dengan 3,306 mangsa di lapan PPS dan 24 mangsa di sebuah PPS di Pasir Puteh.

Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 9.94 meter pada 8 pagi ini berbanding 10.14 meter pada 7 malam tadi.

Paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat juga menurun kepada 3.34 meter berbanding 3.41 meter dalam tempoh sama.

Sementara itu, keadaan cuaca pagi ini kelihatan cerah. – 4 Disember 2017.