Keputusan Calon Perlu Bincang Bersama Parti Komponen

MIC mengharapkan keputusan mengenai pemilihan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti perlu melalui perbincangan bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ia bagi memastikan apa-apa keputusan yang dibuat tidak mengancam jentera PRU14 yang sedia ada dalam parti.

“Perkara pertama adalah kita mahu menang dan kedua adalah kita tidak boleh mengenepikan mereka yang sedia bertugas dalam parti sejak seklian lama, berkaliber dan mungkin sudah mempunyai kedudukan yang baik.

“Perkara ini perlu diambil kira dalam menetapkan siapa yang dicalonkan. Sejujurnya saya setuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kita mahu menang dalam PRU nanti dan calon yang sesuai untuk menang perlu ditetapkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang tidak menolak kemungkinan BN akan menggunakan kaedah ‘calon langsung’ bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN bersedia menggunakan kaedah calon langsung bagi menyelesaikan perebutan seperti yang berlaku bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).

Malah beliau yakin dengan kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO menyelesaikan perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MIC dan MyPPP.

Calon langsung merujuk kepada calon yang diberi keistimewaan mewakili BN, menggunakan lambang dacing, dan bukan lambang parti yang dianggotainya.

Ditanya mengenai perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands, Subramaniam berkata, kerusi berkenaan adalah milik MIC.

“Kita sudah tetapkan kerusi itu (Cameron Highland) adalah kerusi MIC.

“Apapun keputusan untuk Cameron Highland, akan dibuat menerusi perbincangan dan persetujuan MIC,” katanya. – 4 Disember 2017.