Mahathir PM Pakatan Harapan, Wan Azizah Timbalan

Pakatan Harapan mencadangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, manakala Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat memerintah negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Cadangan itu dibuat dalam satu pertemuan gabungan parti itu di Putrajaya.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan dan enggan diterima sebagai keputusan muktamad.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, perkara yang penting seperti itu perlu dibincang dengan lebih teliti di peringkat parti gabungan lain bukan dibuat dengan segelintir pihak.

Difahamkan, pemilihan Dr. Mahathir dan Dr. Wan Azizah dipersetujui lima pemimpin tertinggi Pakatan Harapan iaitu Dr. Mahathir selaku pengerusi, Dr. Wan Azizah (presiden), timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu.

Bagaimanapun, Dr. Wan Azizah berkata, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kepimpinan PKR.

Sementara itu, Naib Presiden Pribumi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, majoriti yang menyertainya memihak kepada Dr. Mahathir.

“Masyarakat perlu tahu siapa yang akan memimpin negara ini jika parti ini menang. Tak kira setakat mana perbincangan diadakan, pokoknya Mahathir tahu bagaimana untuk melaksanakan tugasnya.

“Bagi Wan Azizah pula, dia memegang mandat untuk Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya. – 4 Disember 2017.